Saturday, December 12, 2009

kejayaan malaysia menewaskan thailand

Tak percaya?


BERJAYA...pemain Malaysia meraikan kemenangan ke atas
Thailand, semalam.
BERJAYA...pemain Malaysia meraikan kemenangan ke atas
Thailand, semalam.

TIADA perkataan yang mampu diucapkan Ahmad Fakri Saarani apabila jaringannya membawa Malaysia ke separuh akhir bola sepak selepas menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan cukup dramatik di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional, semalam.

Tiada sesiapapun menduga Malaysia yang tinggal nyawa- nyawa ikan dan berada di ambang tersingkir, mampu bangkit mendadak hasil gol penyamaan Nasriq Baharom pada minit ke-81 selepas ketinggalan hampir setengah jam kepada jaringan pendahulu Arthit Sunthorphit pada minit le-52.

Dalam arus serangan kilat, tiga minit selepas itu, tolakan leret Nor Shahrul Idlan Talaha tepat kepada Ahmad Fakri yang hanya perlu menolak masuk untuk menewaskan penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang cuba merebahkan badannya bagi menampan bola itu.

Namun jangkauannya terlalu jauh untuk menafikan gol kemenangan Malaysia itu.





“Hari ini paling bermakna buat saya. Masakan tidak, kita membuktikan yang mustahil itu menjadi satu kenyataan.

“Ini bukan kejayaan saya seorang tapi semua rakan sepasukan yang bekerja keras dari awal permainan lagi. Memang gol saya membawa Malaysia ke separuh akhir tapi jaringan Nasriq sebenarnya menaikkan semangat kami,” katanya yang kali pertama beraksi di Sukan Sea.

Pemain dari Kampung Bercham, Ipoh, itu mengakui menanam tekad untuk bermain sepenuh hati tanpa terlalu memikirkan soal keputusan perlawanan itu.

“Kami tidak hiraukan suasana stadium yang penuh dengan sorakan penyokong Thailand. Kami mahu bermain sepenuh hati. Bahkan, selepas Thailand menjaringkan gol pertama, ia tidak membawa banyak kesan. Langsung tidak mengganggu tumpuan kami.

“Kami terus bermain seperti biasa. Bermain pantas menggunakan kedua-dua belah sayap. Saya boleh katakan, apa yang kami lakukan ini tidak pernah kami lakukan sebelum ini. Memang berbaloi kejayaan ini,” katanya.

Ditanya erti gol itu, Ahmad Fakri berkata sudah tentu ia untuk seluruh rakyat Malaysia di tanah air tetapi khas untuk ayahnya, Saarani Hussien, seorang pesara tentera.

“Ayah sewajarnya menerima penghormatan ini kerana beliaulah penggalak utama saya hingga berjaya ke hari ini,” kata pemain berusia 20 tahun itu.



>Gembira tak terhingga



GEMBIRA tidak terhingga. Itulah perkataan pertama diucapkan jurulatih K Rajagobal kepada media Malaysia yang menunggunya di bilik media.

“Pemain saya membuktikan mereka boleh membuat kejutan dan bermain seperti juara. Kejayaan ini juga hasil usaha keras, semangat kental dan keyakinan kepada diri sendiri untuk berjaya.

“Mereka memberi segala- galanya dalam permainan ini. Menyerang dan terus menyerang sehingga merosakkan rentak permainan Thailand yang akhirnya meruntuhkan keyakinan serta kekebalan pertahanan mereka,” katanya.

Rajagobal akui persembahan pasukan adalah yang terbaik pernah disaksikannya. Mereka menyerang dan kembali bertahan. Tidak membenarkan lawan bergerak bebas.

“Apa lagi yang boleh saya kata melainkan mengucapkan tahniah kepada setiap pemain yang memberikan persembahan cukup meyakinkan,” katanya.

Biarpun ketinggalan awal babak kedua kepada gol sepakan percuma Arthit Sunthorphit, pemain negara tidak luntur semangat dan hilang keyakinan.

“Saya mendesak mereka agar terus berjuang serta membakar semangat mereka. Ternyata pemain terus teguh dan mengekalkan corak permainan pantas dan keras,” katanya.

Thailand yang mendahului akhirnya gagal mengekang asakan barisan penyerang negara. Gol penyemarak semangat Malaysia hadir minit ke-81 dalam gerakan cantik sebelah kanan.

Azmi Muslim yang masuk menggantikan Sabre Mat Abu menggelecek dua pertahanan Thailand sebelum menyilang tepat kepada Nasriq Baharom yang melepaskan rembatan kencang bagi menewaskan penjaga gol, Kawin Thamsatchanan.

Dalam kebangkitan di luar dugaan, kerapuhan Thailand semakin terserlah dan kesempatan itu digunakan sebaiknya Ahmad Fakri Saarani untuk menjaringkan gol kemenangan, pada minit- minit terakhir permainan.

“Kita sepatutnya lebih awal melunturkan keyakinan Thailand berdasarkan dua peluang keemasan pada babak pertama. Tetapi kesilapan itu berjaya ditebus kembali,” kata Rajagobal.

Kejayaan itu menebus kegagalan skuad negara di Sukan Sea Korat, dua tahun lalu apabila terlepas ke separuh akhir selepas dikecewakan Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak. Pertemuan itu berakhir dengan 1-1.

Ditanya apa yang dirasakannya sekarang selepas Malaysia kembali menghidupkan peluang memburu emas, kali terakhir dilakukan pada 1989, 20 tahun lalu, Rajagopal berkata dadanya sakit akibat debaran jantung terlalu kuat berdegup.

“Suasana perlawanan tadi mencemaskan saya. Apa lagi ketika Thailand mendahului, kemudian kita samakan kedudukan dan akhirnya gol kemenangan tiba jua.

“Keresahan saya kini berakhir. Terus terang saya bangga dengan pemain saya. Mereka boleh bergembira hari ini, tetapi esok saya akan membawa mereka kembali ke alam nyata.

“Perjuangan kita masih belum berakhir kerana saingan separuh akhir adalah berdepan tuan rumah, Laos dan ia bukan tugas mudah apabila pemain bukan saja menentang 11 pemain tetapi ribuan penyokong Laos nanti.

“Ini kali pertama Laos layak ke separuh akhir dan pastinya mereka mengidamkan aksi final. Suasana perlawanan pastinya tegang,” katanya.



>Darby rosakkan rekod cemerlang Thailand



MALANG bagi Steve Darby apabila menjadi jurulatih pertama mengaibkan Thailand yang berbangga dengan rekod 36 tahun tidak pernah gagal layak ke separuh akhir Sukan Sea sejak 1973.

Tetapi semalam rekod itu berkubur apabila Thailand yang turun penuh yakin serta mendahului selesa 1-0 sepanjang 80 minit permainan akhirnya tumbang kepada Malaysia 2-1.

“Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Saya tidak salahkan pemain. Mereka bermain baik dan cukup disiplin.

“Namun Malaysia bangkit dengan corak permainan lebih kemas, mantap dan penuh bertenaga. Pemain mereka tidak langsung nampak kepenatan malah sepanjang masa berlari di setiap penjuru padang.

“Tahniah kepada Malaysia kerana bermain baik dan layak ke separuh akhir,” katanya.

Darby mengakui pemainnya berpeluang mematikan cabaran Malaysia menerusi beberapa peluang terhidang di depan gawang. Namun benteng pertahanan serta penjaga gol Malaysia menafikan percubaan itu dan itu serba sedikit mengecewakan penyerang Thailand.

“Inilah bola sepak. Bayangkan kami mendahului sepanjang 80 minit permainan tetapi kedudukan selesa itu tiba-tiba berubah.

“Kami pula yang tertekan dan semuanya sudah terlambat apabila Malaysia menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

“Saya meminta maaf kepada seluruh penyokong dan rakyat Thailand atas kekalahan ini serta gagal pertahankan rekod cemerlang 36 tahun ini.

“Apa lagi yang boleh saya katakan, kami kurang bernasib baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment